AGENSISELANGOR

Pencemaran Sungai Semenyih, 274 kawasan alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata langkah tersebut susulan pencemaran Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

“Air Selangor telah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan tindakan untuk mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitarnya sedang giat dijalankan.

“Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) telah diaktifkan bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna terjejas susulan insiden ini. Air Selangor belum dapat menjangka tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan air,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan situasi tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :