Tangkap layar maklum balas Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung hantaran Twitter seorang peniaga minuman, Zulqarnain Ibrahim yang disaman MBSA pada 10 Oktober 2020. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Peniaga minuman disaman MBSA terkejut dihubungi MB

SHAH ALAM, 12 OKT: Seorang peniaga minuman terkejut apabila dihubungi Dato’ Menteri Besar selepas kisahnya yang disaman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tular di media sosial.

Zulqarnain Ibrahim yang juga mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata Dato’ Seri Amirudin Shari memberinya kata-kata semangat berhubung situasi berkenaan.

“Menteri Besar hubungi saya menerusi Twitter serta sempat memberi kata-kata semangat dan motivasi. Memang saya sangat terkejut kerana pemimpin nombor satu negeri menghubungi saya sendiri.

“Tak sangka beliau amat prihatin dengan keadaaan yang menimpa saya. Bagaimanapun, saya berlapang hati menerima saman berkenaan kerana kakitangan MBSA juga melakukan tugas mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Remaja berusia 22 tahun itu berkata sebelum ini dia dan rakan hanya menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Saya tidak pernah menjalankan perniagaan di tempat lain, semalam pertama kali kami berniaga di taman dengan meletakkan air jualan di bahagian belakang kereta, itupun untuk habiskan stok sahaja.

“Tetapi tak sangka pula kena saman, apapun kami tetap akan bayar saman berkenaan atas dasar tanggungjawab,” katanya.

Menuntut dalam bidang Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Zulqarnain mula berniaga sejak Mei dengan menjual minuman dari Thailand menerusi Instagram @aroibanghq dan mampu menjual kira-kira 4,000 botol air dalam tempoh sebulan.

Semalam, beliau memuat naik video disaman MBSA ketika berniaga di sebuah taman dan kisahnya mendapat perhatian Amirudin.

Amirudin menerusi Twitter berkata beliau telah menghubungi Zulqarnain untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga telah menghubungi MBSA untuk membantu memudahcara urusan beliau untuk berniaga di sekitar Shah Alam.”


Pengarang :