Borhan Aman Shah menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas merawai di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat pada 9 Oktober 2020. Foto Facebook PKM DUN Tanjung Sepat
ADNSELANGOR

Penyelam TLDM bantu cari nelayan hilang di Pantai Batu Laut

SHAH ALAM, 10 OKT: Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat diteruskan menggunakan kepakaran pasukan penyelam dasar laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Cadangan menggunakan kepakaran penyelam TLDM dikemukakan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana keadaan dasar laut yang keruh membataskan pemandangan penyelamat,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata operasi kini masuk hari ketiga dan pasukan penyelamat semalam berjaya menemui tali dipercayai masih sangkut pada serpihan bot yang pecah.

Beliau berkata tali sampan itu berjaya ditarik dan ada peralatan menangkap ikan namun terlalu pendek serta tidak ditarik menggunakan enjin kerana bimbang akan putus.

“Saya khuatir mangsa tersangkut di dasar laut bersama sampan dan enjin sekali kerana sampannya pecah,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu.

Sebelum ini tular video di laman sosial seorang individu diselamatkan beberapa nelayan selepas ditemui terapung di Pantai Batu Laut.

Individu berkenaan yang merupakan anak mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting.


Pengarang :