AGENDANASIONAL

Penyokong Anwar dilarang berhimpun ketika majlis menghadap Agong

SHAH ALM, 12 OKT: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dilarang berhimpun atau berkumpul di mana-mana tempat, terutama di jalan utama menuju Istana Negara esok.

Arahan oleh Setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berikutan ketua pembangkang akan menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga pohon agar semua rakyat Malaysia bertenang sambil majlis menghadap ini berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas itu,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua ahli parlimen untuk terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat ketika pandemik Covid-19 menular.

Anwar dalam sidang media di Kuala Lumpur pada 23 September mendakwa mendapat sokongan ramai ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang ‘kukuh’ dan ‘meyakinkan’.

Beliau yang enggan mendedahkan butiran jumlah tersebut turut mendakwa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi dapat dipertahankan.

Istana Negara dalam kenyataan susulan mengesahkan majlis presiden KEADILAN menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa ditangguh susulan kegeringan baginda.


Pengarang :