Pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Petaling zon merah, semua 298 sekolah ditutup mulai esok

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 298 sekolah seluruh Petaling ditutup mulai esok hingga 25 Oktober ini selepas daerah itu menjadi zon merah berikutan peningkatan kes Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan berkata bilangan itu merangkumi sekolah rendah, menengah serta swasta yang berdaftar dengan pihaknya.

“Sekolah berasrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Pelajar yang mahu kekal di asrama atau menunggu ibu bapa membawa pulang berada bawah pantauan warden selain makanan disediakan.

“Sepanjang tempoh ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru bersama pelajar melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah,” kata kementerian itu.

Menurutnya lagi, sekolah yang terbabit peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini perlu menjadualkan semula tarikh baharu yang sesuai.

“KPM sentiasa memantau situasi seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hanya sekolah di kawasan zon merah akan ditutup.

 


Pengarang :