AGENDASUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor pertimbang beraksi di Paroi jika PKPB dilanjut

SHAH ALAM, 20 OKT: Selangor mempertimbangkan untuk beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dalam saingan TM Piala Malaysia jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemilihan stadium berkenaan dibuat atas faktor logistik yang berhampiran dengan Lembah Klang.

“Kita akan tulis surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengurusan stadium berhubung cadangan itu. Logistik antara sebab kita memilih stadium berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

MFL dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pindaan tarikh TM Piala Malaysia dari 25 dan 26 Oktober kepada 6 hingga 8 November selepas PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober.

Perancangan jadual baharu turut mengambil kira perkara berkaitan termasuk tarikh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim bermula 19 November hingga 4 Disember ini.


Pengarang :