Jamaliah Jamaluddin bersama sebahagian bumbung rumah yang dihasilkan melalui bahan kitar semula di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto Facebook Jamaliah
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKM Bandar Utama guna bahan kitar semula ganti bumbung usang

SHAH ALAM, 26 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar Utama memperuntuk RM5,000 bagi projek penggantian bumbung keluarga miskin di Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Cempaka.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Tetra Pak Malaysia menggunakan bahan kitar semula bagi membaik pulih kediaman yang rosak, baru-baru ini.

“Usaha ini membantu keluarga memerlukan untuk menjamin hak asasi mereka dengan memiliki tempat tinggal yang baik, sekurang-kurangnya bumbung rumah boleh melindungi daripada tempias hujan.

“Semoga projek ini memberi manfaat dan galakkan kepada orang ramai untuk bersama-sama menggunakan bahan kitar semula demi kelestarian alam,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi.

Beliau berkata bumbung tersebut dibuat melalui pengasingan komponen pek minuman meliputi 75 peratus kertas, plastik (20 peratus) dan aluminium (lima peratus).

Jamaliah berkata elemen plastik dan aluminium atau ‘Poly-Al’ kemudian ditukar menjadi genting bumbung sebelum diserahkan kepada pihaknya.

“Kami akan membantu dua buah keluarga lagi dalam masa terdekat dan berharap projek ini meyakinkan orang ramai bahan kitar semula banyak kegunaannya,” katanya lagi.


Pengarang :