Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPB: Aktiviti ekonomi di mukim Klang seperti biasa, ikut SOP

KLANG, 11 OKT: Aktiviti ekonomi di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan seperti biasa dengan pematuhan sepenuhnya kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Bernama di sekitar Taman Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Klang dan Taman Bayu Perdana mendapati walaupun ada kawasan kelihatan agak lengang namun peniaga masih membuka premis masing-masing mengikut waktu ditetapkan bagi memenuhi keperluan harian masyarakat di situ.

Keadaan di restoran, kedai makan dan gerai di lokasi itu juga dilihat agak ‘sunyi’ susulan SOP PKPB hanya membenarkan makanan dibeli secara bungkus, menerusi khidmat penghantaran makanan atau pandu lalu.

Bagi pengusaha sebuah restoran nasi beriani di Taman Sri Andalas, Stellamary, 44, beliau akur dengan arahan kerajaan walaupun pendapatannya agak merosot pada hari pertama pelaksanaan PKPB.

“Disebabkan lokasi restoran ini di zon merah, kami memang patuh pada arahan kerajaan kerana tidak mahu wujud sebarang isu di kemudian hari dan bagi menjaga keselamatan semua.

“Pematuhan SOP PKPB memang memberi kesan kerana semalam, hanya dua sahaja pelanggan datang membeli makanan daripada kami. Jadi, untuk tempoh dua minggu ini, kami bergantung sepenuhnya kepada pembelian menerusi khidmat penghantaran makanan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Turut senada dengan beliau ialah pengusaha gerai tepi jalan iaitu Mohd Suffian Hairuddin, 36, yang berkata pendapatannya agak merosot berikutan orang ramai tidak keluar rumah seperti sebelum ini.

“Kira-kira 50 peratus juga pendapatan saya berkurangan. Jalan raya di tempat saya berniaga ini ada sekatan oleh pihak polis, jadi tidak ramai orang melaluinya. Pembelian hanya mengharapkan kepada khidmat penghantar makanan sahaja,” katanya.

Bagi penghantar makanan, Abdul Rahim Samsuri, 39, pelaksanaan PKPB ibarat membuka ‘pintu rezeki’ kepadanya kerana setakat semalam sahaja, hampir 20 penghantaran dilakukan di sekitar lokasi zon merah.

Namun begitu, walaupun ingin ‘mengejar’ jumlah khidmat tempahan yang banyak, beliau sentiasa memastikan dirinya mematuhi SOP diitetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memeriksa suhu badan serta mengimbas kod aplikasi My Sejahtera di premis yang dikunjungi.

“Sebelum ini, jumlah tempahan penghantaran tidaklah banyak. Bagaimanapun, hari ini sahaja sejak saya mula bekerja pada kira-kira 11.30 pagi, sudah banyak tempahan yang masuk. Walaupun sibuk, saya sentiasa jaga SOP demi keselamatan diri,” katanya.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat dalam PKPB bermula semalam sehingga 23 Oktober ini susulan peningkatan kes pandemik Covid-19, namun kerajaan memutuskan bahawa aktiviti ekonomi di lokasi terlibat dibenarkan beroperasi dengan pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

 


Pengarang :