Gelagat seorang kanak-kanak bersama ibunya ketika menunggu giliran untuk saringan Covid-19 bagi penumpang yang tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 26 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Anwar gesa kerajaan salur bantuan kecemasan buat rakyat Sabah

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan digesa memikirkan bantuan kecemasan kepada rakyat Sabah yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri berkenaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan meliputi kewangan dan makanan sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup.

“Saya juga mengulangi gesaan sebelum ini agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut menuntut penjelasan kerajaan berhubung sistem kesihatan Sabah yang kekurangan dana, staf dan sumber daya serta kini ditimpa dampak penularan Covid-19.

Anwar berkata segala sumber sedia ada dialih ke negeri itu dan ia tidak seharusnya dibebankan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja.

“Rencana ini memerlukan dukungan politik dan kepimpinan yang jelas bagi menggerakkan pasukan perubatan dan kelengkapan diperlukan selain mempertingkat aspek logistik bagi meluaskan lagi bantuan di Sabah,” katanya lagi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) juga menggesa kerajaan membuat saringan Covid-19 secara besar-besaran setelah lapan bulan mendepani wabak itu.

Setakat semalam, Sabah mencatat 643 kes baharu Covid-19, kekal tertinggi dalam negara.


Pengarang :