Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 26 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPB berkesan, kadar boleh jangkitan Covid-19 kini turun 1.1

PUTRAJAYA, 29 OKT: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RO) bagi Malaysia kini ialah 1.1, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya RO dapat dikurangkan dari 2.2 ketika bermula gelombang ketiga pada 20 September lepas kepada 1.1 hari ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata jika mengikut unjuran 2.2, kes harian dijangka 4,500 namun PKPB di Lembah Klang dan Sabah berjaya menurunkan RO kepada 1.5.

“Kes pada 24 Oktober adalah 1,228 dan pada 26 Oktover adalah 1,240 kes… melebihi 1.5. Tetapi kalau purata kita lihat sekarang ini kurang 1.5.

“Kita dapati sekarang ini RO telah berkurang kepada 1.1. Ini menunjukkan dalam tempoh dua minggu PKPB dari 14 Oktober sehingga sekarang kita dapat menurunkan RO, bererti kebolehjangkitan semakin berkurangan,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata RO yang kini pada 1.1 masih tidak mencukupi dan semua pihak perlu mempertingkatkan aktiviti untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan virus berbahaya itu kepada kurang daripada satu.

Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke dalam kedai serta mematuhi SOP dengan menyediakan alat pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman ketika tinjauan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 24 Oktober 2020. FOTO: BERNAMA

Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat agar terus memberi kerjasama dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Katanya RO kurang daripada satu mampu melandaikan lengkuk kes jangkitan.

Mengenai kematian yang berlaku di luar hospital (BID), Dr Noor Hisham berkata sebanyak 44 kes dilaporkan sehingga kelmarin dengan sembilan ketika gelombang kedua dan selebihnya semasa gelombang ketiga.

Beliau juga berkata susulan peningkatan kes di Sabah, kementerian kesihatan menghantar pakar forensik ke negeri itu berkaitan pengajaran dan pengendalian BID di lapangan mengikut SOP.

Dr Noor Hisham berkata BID berlaku susulan kelewatan hadir ke hospital yang berakhir dengan pesakit meninggal dunia di rumah.

“Kesemua ini adalah antara cabaran yang kita hadapi terutama jika pesakit mempunyai komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihidapi secara serentak) dan merupakan warga emas. Kami dapati kira-kira 80 peratus daripada pesakit kedua-dua kumpulan ini meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :