AGENDANASIONAL

PKPB bersambung, pusingan keenam Cub Prix ditangguh

SHAH ALAM, 27 OKT: Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang hujung minggu ini terpaksa ditunda berikutan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd berkata pengumuman tarikh baharu bagi perlumbaan pusingan keenam itu akan dibuat sebaik keadaan kembali stabil.

“Objektif utama adalah untuk menghabiskan musim 2020 selewat-lewatnya pada Disember atau Januari tahun depan.

“Kami meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan ini. Pada masa sama terima kasih kepada rakan kongsi serta penaja kejuaraan di atas segala kerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas turut meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti tatacara operasi piawai keselamatan untuk sama-sama membanteras wabak Covid-19.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual berakhir hari ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 9 November.


Pengarang :