Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 8 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Boleh teruskan majlis kahwin, wajib bawa kad jemputan

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis perkahwinan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh diteruskan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata tetamu dari luar kawasan wajib membawa kad jemputan untuk ditunjukkan ketika melalui sekatan jalan raya.

“Sebagai contohnya, jika majlis perkahwinan di mukim Klang yang dikenakan PKPB tetapi jemputan dari Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain, mereka wajib bawa dan tunjukkan kad jemputan berkenaan.

“Keputusan ini diambil bagi memudahkan mereka yang sudah merancang majlis perkahwinan dan bimbang berlaku kerugian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah bagi mengelak pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kerajaan menetapkan syarat supaya pengendali majlis meletakkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk pengawasan.

“Sekiranya jumlah tetamu 100 dan ke bawah, anggota RELA yang perlu diletakkan ialah dua orang, sekiranya 100 hingga 300, perlu ada tiga anggota.

“Sementara bagi SOP lain, seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mengambil suhu, cara pengendalian makanan masih lagi tertakluk dengan SOP yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula hari ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Di Selangor, sebanyak 36 taman perumahan dalam mukim daerah berkenaan dikenakan perintah tersebut.


Pengarang :