Petugas kesihatan memakai sut perlindungan diri (PPE) berada di dalam khemah pengambilan sampel bagi saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB di Labuan kuat kuasa 17 hingga 30 Okt, patuhi SOP – menteri kanan

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 17 hingga 30 Oktober ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

“Bagi tatacara operasi piawai (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan keluar masuk merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan pekerja yang mempunyai pas pekerja,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata memandangkan Labuan merupakan kawasan aktiviti perairan, perkhidmatan pengangkutan air seperti feri Ro-Ro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang dengan kapasiti terhad selain mematuhi SOP.

-BERNAMA


Pengarang :