Kerajaan memaklumkan sebanyak 298 sekolah di daerah Petaling ditutup bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober berikutan daerah itu dikelaskan sebagai Zon Merah penularan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Exco ingatkan lima perkara, elak panik

SHAH ALAM, 12 OKT: Rakyat diperingatkan lima perkara perlu diikuti ekoran Kerajaan Persekutuan mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

Exco Selangor, Dato’ Teng Chang Khim menyatakan perkara demikian dalam Facebooknya hari ini.

Peringatan berikut adalah:

1. Jangan cemas kerana kita sudah memperolehi pengalaman PKP hanya beberapa bulan lalu.

2. Jangan kejar untuk membeli barangan asas kerana kegiatan ekonomi akan diteruskan. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bekalan makanan adalah mencukupi.

3. Jangan sebarkan berita yang belum disahkan benar.

4. Mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

5. Bersabar menunggu pengumuman lanjut daripada pihak berkuasa.

Sebelum ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan SOP lanjut dan terperinci diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dicapai pada Sidang Khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.


Pengarang :