Peniaga Restoran Al Falah Noori di Seksyen 20, Shah Alam beroperasi seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

PKPB: Hanya dua orang dibenar makan satu meja

SHAH ALAM, 13 OKT: Hanya dua orang dibenarkan makan satu meja di premis makanan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) berkata restoran, kedai, gerai makan, kendera saji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi seperti biasa dari 6 pagi hingga 10 malam.

“Bagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran atau bungkus dan makan di premis makanan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sektor makanan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media menerusi Facebook hari ini.

Beliau memaklumkan pasar harian turut dibenar beroperasi antara 6 pagi hingga petang manakala pasar borong (4 pagi hingga 2 petang), pasar tani (6 pagi hingga 12 tengah hari) dan pasar malam (4 petang hingga 10 malam).

“Namun, operasi pasar tani dan pasar malam perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan dan perlu dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Ismail Sabri menambah waktu operasi stesen minyak pula dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali di lebuhraya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Tambahnya, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres dan Transit Aliran Ringan (LRT) dibenarkan manakala teksi dan e- panggilan boleh dengan hanya membawa maksimum dua penumpang.

Perubatan dan kesihatan

• Waktu operasi klinik dan hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam.

Sektor ekonomi dan industri

• Aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti yang ditetapkan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Semua kenderaan berkaitan industri, perniagaan, perkilangan yang dibenarkan boleh beroperasi seperti biasa termasuk merentas daerah dan negeri.

Perikanan, perladangan dan pertanian

• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

Pelabuhan dan lapangan terbang

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

Aktiviti keagamaan

• Mesyuarat bersetuju mencadangkan bagi mengimarahkan masjid untuk membenarkan azan dan mendirikan solat lima waktu dengan kehadiran 6 orang Jemaah yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid termasuk imam.

• Manakala pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai 6 orang saja.

• Bagaimanapun cadangan ini akan dibawa kepada Jakim dan pihak berkuasa agama negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk diperkenankan. Keputusan lanjut akan diumumkan oleh Jakim dan pihak berkuasa agama negeri dalam masa terdekat.

Aktiviti riadah, rekreasi dan budaya

• Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan. Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, indoor playground dan panggung wayang adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti sukan

• Aktiviti sukan secara individu, e-sukan, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan outdoor yang tidak melebihi 10 orang adalah dibenarkan.

• Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan/kejohanan tidak dibenarkan.

• Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton, dan acara dan pertandingan sukan yang membabitkan peserta dari luar negeri tidak dibenarkan.

• Bagi program latihan berpusat yang dilaksanakan Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri boleh diteruskan secara ‘quarantine based approach’ seperti yang dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Pendidikan

• Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup dalam tempoh ini.

• Bagaimanapun bagi pelajar sekolah, IPTA, IPTS yang mengambil peperiksaan dengan institusi pengajian luar negara, mereka dibenarkan untuk hadir menduduki peperiksaan saja dan bukan untuk sesi pembelajaran.

Seminar/bengkel/persidangan

• Seminar/Bengkel/Kursus/Latihan/Persidangan/Ceramah dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (Mice) tidak dibenarkan. Latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan latihan saja.

Mesyuarat

Mesyuarat perlu diadakan secara sidang video manakala mesyuarat secara bersemuka adalah tidak digalakkan.

Penganjuran majlis keramaian

Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion dan lain-lain majlis sosial adalah tidak dibenarkan.

Pelancongan

Semua aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan.


Pengarang :