Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPB: Jais tetapkan akad nikah hanya di pejabat agama

SHAH ALAM, 10 OKT: Jabatan Agama Islam (Jais) menetapkan beberapa syarat pelaksanaan akad nikah di daerah Klang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Syarat itu antaranya mewajibkan pasangan yang mendapat kebenaran nikah untuk melaksanakan upacara tersebut di Pejabat Agama Islam Daerah Klang.

“Individu yang dibenarkan hadir ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali sahaja. Jurugambar tidak dibenarkan,” menurut jabatan itu di Facebook semalam.

Kelmarin, seramai 118 pasangan pengantin dari kawasan dikenakan PKPB dinikahkan di pejabat agama oleh lima jurunikah.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata majlis perkahwinan di kawasan PKPB masih dibenarkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tertentu.

Beliau berkata tetamu dari luar kawasan wajib membawa kad jemputan sebagai bukti ketika melalui sekatan jalan raya.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula semalam hingga 23 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :