Orang ramai memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika menaiki LRT selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi ketika tinjauan pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :