Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir.
AGENSISELANGOR

PKPB: KDEBWM urus kutipan sampah di mukim Klang seperti biasa

SHAH ALAM, 13 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menjalankan operasi kutipan sampah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mukim Klang seperti biasa.

Pengarah urusannya berkata pihaknya bagaimanapun mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pemandu lori kompaktor, krew kutipan dan penyelia perlu memakai alat perlindungan diri (PPE) semasa menjalankan tugas.

“Warga kerja dan krew subkontraktor bertugas di lapangan dinasihatkan mengurangkan kontak dengan orang ramai dan digalakkan membawa sendiri makanan ke pejabat atau tempat kerja selain meminimumkan masa di kawasan awam,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan semalam.

Beliau turut menggesa masyarakat mengurus sisa sampah domestik dan pukal dengan baik.

“Pelitup muka, botol cecair pembasmi kuman hendaklah dibuang dengan cara betul dan tidak dibuang merata-rata.

“Marilah kita bersama menjaga kebersihan dan keselamatan diri dengan mematuhi arahan pihak berwajib dalam memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung,” katanya.


Pengarang :