Orang ramai melakukan pembelian awal susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang yang berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 9 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Kenderaan komersial angkut barang dibenar operasi di Klang, Sabah

PUTRAJAYA, 9 OKT: Semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan serta yang berkaitan dengan perniagaan seperti bas pekerja dibenarkan beroperasi dan melakukan perjalanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor serta daerah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan akan memastikan bahawa aktiviti ekonomi tidak akan disekat bagi melindungi kehidupan dan pekerjaan pada waktu yang mencabar ini susulan pelaksanaan PKPB selama 14 hari di kawasan terbabit bermula esok bagi membendung penularan kes Covid-19.

Menerusi satu kenyataan semalam, Wee berkata langkah itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan semua aktiviti ekonomi di Klang beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan MKN.

“Adalah sesuatu yang tidak elok untuk negara jika ekonomi terus terjejas semasa kita bergelut bagi memulihkan ekonomi. Klang sendiri mempunyai pangkalan industri yang besar dan merupakan pelabuhan kontena terbesar di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa jumlah aktiviti perdagangan Pelabuhan Klang pada 2019 ialah lebih RM400 bilion, yang menyumbang sebanyak 22 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti perdagangan Malaysia.

Wee berkata keputusan itu mengambil kira maklum balas perbincangan antara Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensinya yang berkaitan dan MKN dalam mesyuarat secara dalam talian hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Meskipun kerajaan menyokong keupayaan sektor komersial dan perniagaan untuk melakukan urus niaga, ia tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan terhadap SOP sedia ada bagi memerangi pandemik berbahaya itu.

“Syarikat-Syarikat juga harus secara aktif memastikan bahawa persekitaran dan pekerja mereka selamat daripada terdedah kepada Covid-19 pada setiap masa, termasuk melabur dalam pelbagai peralatan tapisan kesihatan seperti pengimbas suhu badan, pensanitasi dan pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus membenarkan perniagaan beroperasi secara bertanggungjawab selaras dengan SOP yang ditetapkan manakala penguatkuasaan di lapangan akan memantau dan mengendalikan pemeriksaan serta lawatan.

-BERNAMA


Pengarang :