Beberapa premis perniagaan dilihat tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di kawasan mukim Klang pada 9 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

PKPB mukim Klang: DUN Sungai Kandis sedia keperluan asas

SHAH ALAM, 9 OKT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyediakan barangan dapur dan keperluan kesihatan kepada penduduk di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ahli Dewan Negerinya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penduduk yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pegawai pusat khidmat DUN dengan segera.

“Penduduk juga boleh menghubungi ahli majlis atau ketua-ketua kampung tradisi. Anda juga boleh meninggalkan pesanan di Facebook ‘N49 Dun Sungai Kandis’, kita akan beri maklum balas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata keadaan terkawal meskipun terdapat sekatan jalan raya di sebahagian DUN Sungai Kandis melibatkan Taman Seri Andalas, kawasan Seri Damak, Seri Siantan, Seri Tanjung dan Seri Banang menghala ke Taman Rakyat.

“Untuk makluman, sekolah, rumah ibadat, pasar pagi dan malam juga sudah ditutup atas sebab keselamatan,” katanya lagi.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di situ.


Pengarang :