Keadaan trafik di kawasan R&R sekitar lebuh raya menuju ke arah Pantai Timur yang dirakam pada hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. – foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Plus tutup sementara surau R&R, hentian sebelah

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kemudahan surau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah plaza tol yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditutup sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PLUS Malaysia Berhad (Plus) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan antara lokasi surau terlibat adalah R&R Ulu Bernam (arah selatan), R&R Rawang (arah utara), R&R Dengkil (kedua-dua arah), Restoran Jejantas Sungai Buloh dan USJ serta Hentian Sebelah Tanjung Malim (arah utara), Hentian Sebelah Sungai Buloh (arah selatan) dan Hentian Sebelah Serdang (kedua-dua arah).

“Kesemua 29 surau yang terdapat di hentian sebelah plaza tol Plus di negeri dan kawasan yang terlibat turut ditutup sementara kepada orang ramai.

“Gerai makan di lokasi terbabit hanya dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh PKPB dan hanya dua individu dibenarkan duduk di meja makan. Pelanggan yang singgah di R&R juga perlu mendaftar menerusi MySejahtera dan merekodkan suhu badan sebelum memasuki premis makanan selain mematuhi penjarakan fizikal satu meter serta memakai pelitup muka sebelum dan selepas makan,” menurut kenyataan itu.

Semua kemudahan tandas awam di R&R yang terlibat tetap beroperasi 24 jam setiap hari sepanjang tempoh PKPB.

-BERNAMA


Pengarang :