Pasukan Red Giants memulakan latihan pertama di Negeri Sembilan pada 23 Oktober 2020 sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia. Foto: Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

PKPB: Red Giants persiap harungi Piala Malaysia di Negeri Sembilan

SHAH ALAM, 24 OKT: Selangor menjalankan sesi latihan di Negeri Sembilan bagi membolehkan pasukan membuat persiapan menghadapi saingan TM Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung awal November hadapan.

Pemangku ketua jurulatih Michael Feichtenbeiner berkata tindakan itu membantu pasukan berlatih selepas semua aktiviti sukan bersentuhan tidak dibenarkan di Selangor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pihak pengurusan FAS melakukan tugas yang baik untuk memberikan peluang untuk kami berlatih di luar Selangor. Persekitaran berbeza ini dapat memberi fokus yang baharu kepada pemain dan dapat merapatkan hubungan sesama mereka.

“Latihan sebegini memang diperlukan kerana kami tidak dibenarkan menjalani latihan di Pusat Latihan FAS seperti biasa (latihan tanpa sentuhan). Ini juga merupakan kali pertama saya mempunyai lebih banyak masa bersama untuk mengenali mereka,” katanya di portal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Beliau menjelaskan sesi latihan ini membolehkan pemain kekal cergas dan memahami falsafah bola sepak yang ingin diterapkan selain memperkukuh semangat berpasukan menerusi beberapa aktiviti sepanjang kem latihan.

Dalam perkembangan sama FAS memaklumkan perpindahan lokasi latihan ini diluluskan pihak berkuasa dan semua pergerakan pasukan serta sesi latihan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang digariskan Kementerian Kesihatan.


Pengarang :