Foto laman web Tropicana Golf & Country Resort
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD di asrama pekerja Kelab Golf Tropicana mulai Isnin

SHAH ALAM, 10 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya, mulai 12.01 tengah malam, 12 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perintah berkuat kuasa sehingga 25 Oktober susulan lima pekerja di situ disahkan positif Covid-19.

“Pelaksanaan PKPD bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama pekerja serta membolehkan pengesanan kes secara bersasar sepanjang tempoh 14 hari.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni dikehendaki mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya memaklumkan jumlah penghuni terlibat seramai 500 orang.

Dalam sidang media secara maya hari ini, Ismail Sabri berkata arahan tersebut tidak memberi kesan kepada kediaman dan rumah kelab di resort berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk menutup kompleks beli-belah 1 Utama selama tujuh hari bermula 12 Oktober susulan beberapa pekerja di situ dijangkiti virus.

“Penutupan itu supaya proses saringan dapat dilakukan terhadap semua 800 pekerja dan pihak berkaitan, juga membolehkan proses sanitasi dibuat di seluruh pusat beli-belah,” katanya.


Pengarang :