Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas majlis simbolik penyerahan sut perlindungan diri kepada Jabatan Penjara dan basikal elektrik serta luncur jet kepada Polis Diraja Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPD: Unit Bencana Selangor selaras bantuan makanan staf penjara

SHAH ALAM, 28 OKT: Unit Pengurusan Bencana Negeri akan menyelaras bantuan makanan di semua penjara Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Menteri Besar berkata usaha berkenaan bagi memastikan warga kerja di situ mendapat bekalan makanan sehingga arahan tersebut tamat pada 4 November.

“Langkah ini sedikit sebanyak meringankan beban tugas warga kerja Jabatan Penjara yang berada di kawasan PKPD untuk mendapat bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh berkenaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan alat penjagaan kesihatan kepada Jabatan Penjara di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

PKPD dikuat kuasa di Penjara Kajang, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional di Puncak Alam bermula 23 Oktober bagi mengawal penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata keadaan ketika ini terkawal dengan hanya satu kes Covid-19 dilaporkan.

“Kita ikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan setiap pegawai wajib memakai pelitup muka dan membuat saringan sebelum masuk kerja.

“Kita juga tidak benarkan pergerakan keluar masuk sehingga PKPD tamat kecuali perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan dan pembersihan,” katanya.


Pengarang :