AGENDANASIONAL

PKPD: Usah panik, bekalan makanan cukup

TANAH MERAH, 28 OKT: Bekalan makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah mencukupi dan rakyat yang berada dalam kawasan PKPD tidak perlu panik dengan maklumat palsu berhubung perkara itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan khususnya kementeriannya tidak mempunyai masalah berhubung dengan bekalan makanan untuk disediakan dan dibekalkan kepada rakyat yang terlibat dengan PKPD.

“Bekalan di Sabah atau di seluruh negara tidak mempunyai masalah…kementerian akan pastikan bekalan makanan mencukupi untuk diterima oleh rakyat.

“Jadi kami (kerajaan) mengharapkan supaya rakyat tidak membuat pembelian panik hanya kerana mendengar berita-berita palsu yang menyatakan makanan tidak mencukupi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Projek Kelompok Jagung Kampung Paloh di sini, hari ini.

Sementara itu beliau berkata kementerian amat mengalakkan golongan akademik dalam bidang pertanian untuk terlibat sama bagi membantu meningkatkan pengeluaran sektor pertanian berkualiti negara.

“Kita memandang serius atau sangat menghargai kepakaran ahli akademik dalam sektor pertanian kerana kita yakin penglibatan cerdik pandai ini turun ke padang memberikan bantuan ilmu teknikal dan sebagainya, dapat mempertingkatkan keluaran hasil pertanian negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :