AGENSISELANGOR

PKPS gesa orang muda ceburi pertanian moden

SHAH ALAM, 16 OKT: Golongan muda digesa menyertai Program Usahawan Tani yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata agensi pertanian tersebut turut menyediakan tanah untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman berasaskan pertanian pintar.

“PKPS juga berusaha ke arah mencapai pertanian lestari melalui produktiviti optimum tanaman dan tanah menggunakan input minimum yang membawa kepada peningkatan hasil.

“Golongan muda terutamanya graduan baharu perlu tampil menyahut cabaran, mereka perlu rebut peluang yang ada serta menerajui transformasi pertanian di Selangor,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin menerusi program Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah hari ini.

Beliau berkata nilai import makanan negara pada tahun lepas mencecah RM51 bilion dapat dikurangkan jika lebih ramai petani mengamalkan pertanian pintar.

“Malah nilai import untuk sayur dan buah sahaja mencecah RM8 bilion, jadi pasaran makanan terlalu besar untuk diteroka dan saiz keperluannya amat tinggi.

“Selagi masih gunakan cara lama untuk menanam, selagi itu usaha meningkatkan bekalan makanan negara tidak akan tercapai. PKPS menyeru petani muda atau petani baharu tampil menyahut cabaran ini,” katanya.


Pengarang :