PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

PKS, usahawan perlukan lebih banyak geran, pembangunan digital

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Peserta industri berharap Belanjawan 2021 menawarkan lebih banyak geran bantuan dan pemadanan terutamanya yang boleh membantu penerimaan pakai digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro (MSME) serta pengecualian cukai bagi membantu mereka menangani arus perubahaan keadaan pada masa ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang berkata sementara penerimaan pakai pendigitalan amat penting untuk perniagaan dalam pelbagai bidang, perhatian khusus kepada PKS dan MSME sememangnya perlu kerana mereka telah terjejas teruk oleh krisis kesihatan Covid-19.

“Pendekatan yang padu dan berstruktur diperlukan untuk menyokong digitalisasi dan untuk mereka mengubah cara menjalankan perniagaan,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Antara lain, penerimaan pakai digital boleh membantu PKS dan usahawan mikro memanfaatkan pelbagai platform yang ada termasuk Platform Bersepadu Halal (HIP) milik Halal Development Corporation (HDC) iaitu platform urus niaga dalam talian yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

“HIP akan menjadi hab urus niaga dalam talian terbesar yang menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

“Dengan platform maya ini, perniagaan akan dikendalikan tanpa sempadan dan ia menggalakkan pengantarabangsaan dan urus niaga merentasi sempadan dan negara,” kata pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas.

Pada 28 September, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memudahkan pencepatan penerimaan pakai digital dalam kalangan PKS di bawah Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November.

Beliau berkata rekod menunjukkan penghijrahan teknologi dan digital belum lagi mencapai tahap kritikal dalam kalangan PKS.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa dengan pendigitalan, PKS boleh mendapat jangkauan pasaran yang lebih besar dan seterusnya memasuki pasaran serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh menyokong mereka dalam proses ini,” katanya.

PKS menguasai 98.5 peratus perniagaan di Malaysia, menyediakan lebih lima juta pekerjaan yang menyumbang melebihi RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara industri halal pula mempunyai 230,000 peserta termasuk syarikat multinasional dan PKS.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata kerajaan juga perlu terus memberi sokongan kepada automasi berdasarkan kepada asas-asas yang ditetapkan oleh pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bagi menggalakkan peralihan dalam kalangan PKS.

“Inisiatif seperti peruntukan Kemudahan Bantuan Khas BNM (SRF COVID-19) dan skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) patut diteruskan kerana kesan daripada pandemik mungkin berpanjangan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berharap selain daripada lanjutan inisiatif kewangan, kerajaan akan turut menambah geran pemadanan digitalisasi.

Beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif “Bekerja-dengan-PKS” untuk warga Malaysia yang telah menganggur selama tiga bulan ataupun diberhentikan semasa semasa tempoh pandemik ini dan mereka yang telah berjaya diterima bekerja dengan PKS.

“Kami mencadangkan agar jumlahnya ditetapkan pada RM300 sebulan untuk tempoh 12 bulan, dibayar terus kepada pekerja,” kata beliau.

Persatuan itu juga berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pengecualian cukai korporat untuk RM500,000 pertama pendapatan korporat yang dikenakan cukai, dan pengecualian cukai korporat untuk pendapatan tambahan bagi tahun kewangan 2021 berbanding 2020, tambahnya.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya yang turut bersetuju dengan pendapat Ng berkata, sekurang-kurangnya PKS memerlukan suntikan modal jangka panjang dan tanpa faedah.

Beliau turut berpendapat kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu terlibat sama dalam mengubah platform pemasaran dan keusahawanan.

Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan insentif seperti pengecualian cukai, pengecualian yuran pendaftaran perniagaan dan yuran pembaharuan pendaftaran perniagaan untuk syarikat yang mengendalikan perniagaan dalam talian serta mewujudkan pusat-pusat pemasaran digital setempat untuk pelbagai produk dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada.

-BERNAMA


Pengarang :