PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020. Foto: PLUS
AGENDANASIONAL

Plus: 3E tangani isu keselamatan lebuh raya, guna teknologi

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Plus Malaysia Berhad (Plus) melaksanakan formula ‘3E’ iaitu kejuruteraan (Engineering), penguatkuasaan (Enforcement) dan pendidikan (Education) dalam usaha memastikan lebuh raya kendalian syarikat itu berada pada tahap terbaik.

Dalam kenyataan hari ini, Plus memaklumkan aspek kejuruteraan memfokuskan penggunaan aplikasi teknologi terbaru bagi meningkatkan keselamatan seperti turapan jalan, penghadang jalan, peralatan keselamatan jalan raya dan teknologi video analitik.

“Sebagai contoh, di laluan Ipoh-Kuala Kangsar, Plus telah mengadakan penambahbaikan aspek kejuruteraan seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, ‘rumble strips’ dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit,” menurut kenyataan itu.

Bagi aspek penguatkuasaan pula, Plus berkolaborasi dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) untuk meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya.

Ia termasuk 96 Ops Halangan yang dilaksanakan tahun lepas dalam usaha mengesan kenderaan berat yang membawa muatan secara berbahaya, di samping tahap keselamatan tayar yang digunakan.

Menurut kenyataan itu, Plus turut bekerjasama dengan JPJ untuk memasang lebih banyak kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di empat lokasi terpilih di lebuh raya untuk mengurangkan kemalangan disebabkan pemandu yang memandu melebihi had laju.

Sementara itu, bagi aspek pendidikan merangkumi penganjuran program kesedaran keselamatan jalan raya seperti Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan pada 2018 dan telah merekodkan pengurangan jumlah kematian melibatkan petugas di lebuh raya sebanyak 75 peratus.

Pemandangan udara di sekitar kawasan Plaza Tol Jalan Duta di bawah kendalian PLUS. Foto BERNAMA

Plus turut mengambil inisiatif mendidik orang ramai tentang keselamatan lebuh raya menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Menurut kenyataan itu lagi, secara purata antara 2013 hingga 2019, hanya 2.6 peratus insiden trafik seluruh negara berlaku di lebuh raya Plus dan ia disebabkan pendekatan yang diguna pakai Plus telah menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di lebuh raya kendaliannya.

Selain mendapat kedudukan pertama bagi lebuh raya sistem tertutup berprestasi terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Plus juga adalah syarikat pengendali lebuh raya di Asia yang pertama memenangi anugerah antarabangsa keselamatan jalan raya iaitu ‘Prince Michael International Road Safety Award’ pada 2019.

-BERNAMA

 


Pengarang :