Tinjauan pada 5 Oktober 2020 di Sungai Batang Benar, Nilai mendapati keadaan aliran air sungai tersekat pada sampah sarap dan sisa buangan oleh individu tidak bertanggungjawab sekali gus boleh mengundang penyakit dan kemunculan haiwan berbisa. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis: Lagi ditahan kes cemar bekalan air Selangor

SEREMBAN, 13 OKT: Seorang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Batang Benar, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 pagi di Kota Bharu, Kelantan.

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Azrul Hisham berkata polis akan membuat permohonan menyambung reman terhadap dua individu yang ditahan berhubung kes sama selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Mahkamah Seremban membenarkan lanjutan tempoh reman itu selama lima hari sehingga 18 Okt.

Pada Rabu lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai berkata polis telah menahan dua lelaki berusia 30-an dan 40-an, yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai dan Sungai Semenyih, Selangor, pada 6 Okt lepas.

Pada 5 Oktober Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

– BERNAMA


Pengarang :