Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENSISELANGOR

Polis sahkan lelaki bergelang merah jambu ditangkap di Klang

SHAH ALAM, 11 OKT: Seorang lelaki yang memakai gelang merah jambu yang ditemui di stesen minyak Bukit Tinggi, Klang ditangkap polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata suspek berusia 30 tahun bekerja sebagai jurutera minyak di Sabah dan pulang ke Semenanjung pada 3 Oktober.

“Suspek yang juga warga tempatan tinggal di kawasan Klang. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, tular di media sosial rakaman video seorang lelaki memakai gelang merah jambu, dipercayai dalam tempoh kuarantin berada di sebuah stesen minyak.

Menurut Bernama, rakaman tersebut menunjukkan insiden tegur-menegur antara seorang petugas kesihatan wanita dengan lelaki terbabit.

Susulan itu, Polis Klang Selatan segera bertindak mengenal pasti suspek dan membuat tangkapan selepas mendapat pengesahan suspek bebas Covid-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.


Pengarang :