SELANGOR

Polis Selangor selesaikan 46 kes tipu sasar warga emas

SHAH ALAM, 22 OKT: Polis menyelesaikan 46 kes tipu menang peraduan yang berlaku di pasar raya di sekitar Selangor dengan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah di Pelabuhan Klang, dekat sini, jam 2 petang Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Muhamad Yazid Muhammad Yew berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan penipuan itu secara bersendirian sejak Ogos lalu membabitkan mangsa kerugian berjumlah RM456,542.

Menurutnya, suspek menjalankan kegiatan antaranya di daerah Klang Selatan, Klang Utara, Shah Alam, Ampang serta Subang dengan membabitklan mangsa warga emas berusia antara 65 dan 81 tahun.

“Modus operandi suspek adalah dengan mendekati mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pengarah urusan pasar raya berkenaan. Suspek kemudiannya memberitahu mangsa yang mereka dipilih untuk memenangi sebuah kereta Toyota Vios atau Toyota Avanza.

“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan kad pengenalan serta kad debit atau kad kredit bersama nombor pin kononnya bagi tujuan pendaftaran dan insurans kenderaan yang dimenangi sebelum menghilangkan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata polis turut merampas 158 kad perniagaan, enam keping lesen memandu, 32 kad debit dan 10 kad kredit.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua kes jenayah lampau melibatkan kesalahan menceroboh selain pernah dipenjarakan selama tujuh tahun di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid menyeru mana-mana individu yang pernah ditipu seumpama itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berikutan masih terdapat pemilik kad debit dan kad kredit yang dirampas bersama suspek tidak dapat dikesan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA


Pengarang :