Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Polis Shah Alam buat sekatan jalan raya di Kampung Bukit Naga

SHAH ALAM, 9 OKT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Bukit Naga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata sekatan itu beroperasi 24 jam di bawah pentadbiran Balai Polis Taman Sri Muda yang menghubungkan laluan sempadan Klang dan Shah Alam.

“Lokasi SJR Kampung Bukit Naga (di) Lot 6012, Lorong Takiah, Batu 6, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan orang ramai yang ingin keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi melibatkan Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa serta Taman Sri Andalas dinasihat untuk mendapatkan surat kebenaran di balai polis bergerak yang disediakan.

Baharudin menambah Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan membuat pantauan secara berkala bagi memastikan laluan antara kedua-dua daerah berjalan lancar.

“Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa),” katanya.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober sebagai langkah pencegahan susulan peningkatakan kes Covid-19 di daerah itu.


Pengarang :