Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor menjalankan pensampelan di alur air di Kampung Baru Balakong pada 27 Okt 2020. Foto Facebook Luas
AGENDANASIONAL

Polis siasat kes tumpahan minyak di alur air Kampung Baru Balakong

SHAH ALAM, 28 OKT: Jabatan Siasatan Jenayah Selangor menyiasat kes tumpahan minyak di alur air Kampung Baru Balakong di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Ketuanya Datuk Fadzil Ahmat berkata pegawai Jabatan Alam Sekitar Selangor membuat laporan semalam dan mengesyaki ia mempunyai unsur sabotaj.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Selangor ke tempat kejadian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Indah Water Konsurtium untuk membantu siasatan.

“Beberapa sampel minyak bercampur air diambil untuk diuji kandungan tersebut untuk tujuan siasatan dan pendakwaan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadzil menambah, pihaknya mengadakan mesyuarat dengan tiga agensi terbabit pada 20 Oktober dan bersepakat untuk menjalankan siasatan dan tindakan bersepadu demi kepentingan rakyat negeri ini.

Hari ini, Luas dilaporkan bertindak pantas menyekat aliran minyak hitam di alur air di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong daripada memasuki Sungai Balak dan Sungai Langat.

Tindakan itu juga berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).


Pengarang :