Petugas Air Selangor menimba air untuk memeriksa kualitinya di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis tahan lapan lelaki disyaki cemar Sungai Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Polis menahan lapan lelaki termasuk dua beranak berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini.

Ketua jabatan siasatan jenayah Selangor berkata semua mereka ditahan di Rawang pada jam 11.30 pagi tadi.

“Anak beranak berusia 62 dan 31 tahun merupakan pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera manakala enam suspek lain termasuk empat warga asing adalah pekerjanya.

“Semua akan direman esok di Mahkamah Selayang mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenal pasti tiga kawasan kilang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.

Ahad lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada jam 2 pagi.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :