Seorang Pos Rider kenali sebagai Abdul Aziz Mustapha. Foto Facebook Pos Malaysia
RENCANA

Pos Rider beri kehidupan 1,400 individu hilang kerja akibat Covid-19

Oleh Sakini Mohd Said

SHAH ALAM, 2 OKT: Kehidupan lelaki berusia awal 50-an ini dilihat cukup sempurna. Memiliki syarikat sendiri, mempunyai beberapa buah kenderaan, menetap dalam kediaman sungguh selesa mahupun berbelanja ribuan ringgit setiap bulan!

Pastinya, kesenangan dan kehidupan penuh bergaya yang dinikmati usahawan Chairil Anwar Sabar bersama keluarganya menjadi dambaan serta impian sesiapa sahaja.

Namun begitu, siapa sangka segala kekayaan yang dikecapi lebih satu dekad hasil keringatnya selama ini mengusahakan perniagaan acu tekan logam di Rawang, Selangor, akhirnya ‘ternoktah’ begitu sahaja akibat pandemik Covid-19.

Tidak ada satu pun yang dapat diselamatkannya apabila perusahaan yang dijalankan selama hampir 13 tahun itu terpaksa ditutup operasi berikutan kekangan dana untuk menguruskannya lagi. Menurut Chairil Anwar, semuanya musnah sekelip mata dan apa yang tinggal hanyalah timbunan hutang syarikat bernilai puluhan ribu ringgit.

“Syarikat tidaklah besar, hanyalah SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan kami menjalankan proses acu tekan logam untuk penghasilan produk automotif, alatan sukan dan seumpama.

“Permintaan sebelum ini sangat memberangsangkan sehinggalah awal tahun ini perniagaan agak perlahan dan semakin teruk sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Biasanya, perniagaan akan stabil balik, nama pun bisnes ada turun naik.

“Tetapi, kali ini memang tidak dapat diselamatkan lagi. Kilang terpaksa ditutup awal tahun ini sebab sudah tidak ada permintaan dan saya pun tidak mampu bayar gaji lima pekerja serta hutang dengan pembekal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mempunyai anak yang masih belajar dan paling kecil berusia dua tahun, keperitan hidup yang dihadapinya itu bertambah kritikal apabila bapa kepada tujuh orang anak ini gagal mendapat sebarang pekerjaan selain simpanannya mengalir laju untuk perbelanjaan keluarga mahupun membayar hutang.

Tiga bulan menganggur, namun semuanya berubah sebaik lelaki kelahiran Klang ini menyertai program ‘Pos Rider’ pada akhir Mei lepas, iaitu inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia, sekali gus memberi ‘sinar baharu’ buat Chairil Anwar meneruskan kelangsungan kehidupan bersama keluarganya.

‘Pos Rider’

Chairil Anwar, antara ejen Pos Rider yang dilantik daripada 1,400 Pos Rider seluruh negara oleh Pos Malaysia sepanjang tempoh PKP, bertujuan bukan sahaja melancarkan kapasiti penyerahan barang kepada pelanggannya.

Tetapi juga, program yang diperkenalkan pada September 2019 ini menariknya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang mata pencarian khususnya semasa tempoh PKP yang menyaksikan ramai kehilangan sumber pendapatan ketika itu.

Hakikatnya, pandemik Covid-19 yang menyerang seantero dunia nyata memberi kesan sangat hebat kepada kelangsungan ekonomi negara berikutan majoriti besar industri terjejas dengan wabak berkenaan sehingga ada terpaksa mengurangkan jumlah pekerja mahupun menutup operasi.

Ini membuatkan ramai kehilangan pekerjaan dan berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 10 Sept lepas, 79,737 orang hilang pekerjaan bagi 2020.

Manakala kadar pengangguran sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 4.9 peratus Jun 2020.

Biarpun demikian, berlainan pula dengan Pos Malaysia yang berjaya mewujudkan peluang pekerjaan pada saat situasi sangat kritikal dengan pemberhentian pekerja dalam pelbagai sektor apabila syarikat ini melantik 1,400 ejen Pos Rider hanya pada musim PKP sahaja.

“Pekerjaan baharu ini jauh berbeza daripada dulu, tidak lagi pakai ‘sut’ dan kerja di bawah penghawa dingin. Tetapi, saya gembira dan seronok apabila dapat bertemu pelbagai karakter orang setiap hari semasa menghantar barang.

“Yang penting, pendapatan sebagai Pos Rider sebenarnya agak lumayan sekiranya rajin. Kalau komited, mula bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, kiranya dalam seminggu sudah boleh dapat RM2,500.

“Jadi, kalau empat minggu bukankah boleh dapat RM10,000? Ia bukanlah pekerjaan bawahan dan saya pun tidak malu jadi Pos Rider,” katanya yang menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.

Dengan pendapatan menarik ini, Chairil Anwar yang sebelum ini hanya melakukan Pos Rider separuh masa kini menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki utamanya apabila ia berjaya membantunya meneruskan kelangsungan keluarga dan membayar hutang.

Terjamin

Menariknya, keseronokan yang dirasai Chairil Anwar sebagai Pos Rider turut diakui Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 33, sehingga anak muda ini komited menjadikannya sebagai pekerjaan jangka masa panjang kerana yakin ia terjamin dan stabil.

Malah, anak lelaki daripada empat beradik ini sedikit pun tidak menyesal melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta biarpun profesional tersebut biasanya dilihat tinggi kalangan masyarakat.

Bagi bapa kepada seorang anak ini, dia mengakui tidak pernah terlintas suatu hari nanti akan terlibat dengan kerjaya penghantar barangan kerana beranggapan profesion pensyarah sudah cukup stabil.

“Semuanya mula berubah sejak PKP apabila kolej tempat saya mengajar terpaksa memotong hampir setengah gaji menyebabkan baki yang tinggal tidak cukup sara keluarga. Jadi, saya pun ambil keputusan berhenti kerja dan cari pekerjaan lain tetapi tidak berjaya.

“Memang tertekan sebab duit simpanan banyak keluar dan terpaksa juga pinjam dengan emak ayah.

“Tetapi, syukur selepas ternampak iklan Pos Rider di Facebook dan permohonan berjaya, saya kini komited menjadikan Pos Rider sebagai pekerjaan tetap selepas hampir lima bulan bekerja,” katanya yang sebelum ini mengajar bidang kejuruteraan automotif.

Istimewanya, pendapatan yang diperoleh anak lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini sebagai Pos Rider adalah dua kali ganda berbanding gaji yang diperoleh sebagai pensyarah sekali gus membolehkannya untuk menghulurkan kembali duit kepada emak ayah serta membantu adiknya yang kesempitan kewangan.

Menurut Muhammad Hafidz, dia kini gembira bekerja sebagai Pos Rider kerana selain daripada kurang tekanan, lebih banyak sebenarnya masa dapat diluangkan bersama keluarga berbanding dahulu.

Komisyen penuh

“Biasalah kerja sebagai pensyarah banyak yang perlu difikir daripada perihal kerja sehinggalah sikap dan masalah pelajar. Perkara ini boleh terbawa sehingga balik kerja dan ketika cuti.

“Tetapi, apabila saya bekerja sebagai Pos Rider memang jauh berbeza perasaannya. Hanya tertekan ketika waktu kerja sahaja kerana hendak kejar masa hantar barang tetapi lama kelamaan kita sudah mahir dan tahu bagaimana menguruskannya.

“Menariknya lagi, pekerjaan Pos Rider memang betul-betul membantu golongan seperti kami yang hilang mata pencarian kerana 100 peratus komisyen diperoleh hasil penghantaran barang dapat kepada kami. Tidak ada peratusan untuk Pos Malaysia,” katanya.

Hakikatnya, program Pos Rider yang diwujudkan bagi melancarkan penghantaran barangan Pos Malaysia telah banyak membantu golongan yang kehilangan sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos, Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata, rakan penghantaran barangan Pos Rider memainkan peranan penting semasa PKP dengan membantu Pos Malaysia berurusan dengan peningkatan jumlah bungkusan pos.

Jumlah bungkusan pos melonjak tinggi semasa PKP, mendorong Pos Malaysia mendapatkan khidmat rakan penghantaran barangan, Pos Rider, untuk membantu penghantaran barangan kepada pelanggan. Pos Malaysia memproses purata 487,000 bungkusan barangan setiap hari dengan jumlah tertinggi ialah 800,000 bungkusan sehari.

“Ini adalah kenyataan bahawa jumlah rakan penghantaran barangan sepanjang PKP tidak mencukupi untuk memenuhi jumlah bungkusan yang tinggi, tetapi Pos Rider kami terus berusaha dan melakukan tugas dengan baik dalam menyelesaikan penghantaran itu dengan cepat dan selamat kepada pelanggan kami.

“Oleh kerana itu, kami dapat mengatasi kenaikan jumlah bungkusan yang tidak dijangka selama ini,” katanya.

Program Pos Rider adalah salah satu inisiatif di bawah strategi transformasi Pos Malaysia yang dilaksanakan sejak 2019, dengan tujuan untuk mencapai pulangan jangka panjang dan berkesinambungan bagi syarikat dan untuk memberikan penawaran terbaik kepada pelanggan.

Ia juga membolehkan syarikat menjalankan operasi dengan kos tetap yang lebih rendah berbanding jika menggunakan kakitangan sepenuh masa untuk menangani kenaikan jumlah bungkusan.

Bungkusan satu juta

Pos Malaysia hanya melihat kenaikan kos berubah dari komisen yang dibayar kepada rakan kirimannya, yang dapat dikendalikan oleh syarikat dalam jangka masa panjang. Setiap Pos Rider dapat komisen sehingga RM6,000 untuk menghantar bungkusan bagi Pos Malaysia.

“Kami gembira kerana Program Pos Rider memenuhi objektifnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar kami dan pada masa sama membantu menjaga kos kami rendah untuk kami terus menawarkan perkhidmatan pos yang dapat diakses kepada pelanggan.

“Keutamaan kami sentiasa kepada rakyat dan kami berkomitmen dalam melaksanakan kewajiban kami kepada negara, mulai dari penciptaan pekerjaan sehingga penyampaian layanan pos dasar, mudah diakses dan terjangkau seperti yang disyaratkan di bawah Kewajiban Perkhidmatan Sejagat (USO),” katanya.

Transformasi Pos Malaysia ke platform digital tepat pada masanya dan telah mempersiapkan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna semasa wabak ini. Oleh kerana semakin banyak pengguna dan perniagaan beralih ke e-dagang, pelaksanaan rancangan transformasi yang berjaya sangat penting jika Pos Malaysia berusaha untuk memanfaatkan normal baharu.

Pos Malaysia yakin bahawa program Pos Rider dapat membantu mengurangkan kos pengiriman 1 juta bungkusan sehari, yang ingin dicapai oleh syarikat pada akhir 2021.

-BERNAMA


Pengarang :