Notis penjarakan sosial diletakkan di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bagi mengawal penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Prasarana: Operasi tren, bas seperti biasa, kekerapan ikut permintaan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan terus beroperasi mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam sehingga Selasa depan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan kekerapan perkhidmatan meliputi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT akan disesuaikan mengikut permintaan semasa.

“Pihak kami akan memantau dengan rapi dengan keadaan aliran penumpang esok dan mengimbangi kapasiti dan permintaan semasa dalam menentukan kekerapan tren dan bas untuk esok dan hari berikutnya.

“Prasarana akan mengeluarkan kenyataan media susulan Jumaat ini bagi memberi maklumat terkini berdasarkan aliran penumpang esok,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-78852585 atau layari laman sesawang myrapid.com.my serta ikuti platform media sosial kami di Facebook myrapid dan Twitter @askRapidKL bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) hari ini mengumumkan untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja di peringkat pengurusan dan penyeliaan di kawasan PKPB untuk berada di pejabat yang dihadkan selama empat jam bermula 10 pagi hingga 2 petang berkuat kuasa esok.

– BERNAMA


Pengarang :