Penduduk menjalankan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di SK Sacred Heart pada 26 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK Batu Sapi tetap dibuat, pengundi perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 31 OKT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah perlu diadakan kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata perdana menteri.

Berikutan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan berdisiplin dan menjaga diri masing-masing.

“Begitu juga dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang terpaksa diadakan bila-bila masa. Saya sebutkan perkara ini kerana ia bukan main-main, ini perkara serius.

“Kalau saudara dan saudari beranggapan pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung masa ini tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Perdana menteri berkata hanya pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dapat menangguhkan dua pilihan raya itu hingga krisis pandemik Covid-19 berakhir.

Muhyiddin juga menegaskan akan meneliti SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Saya tahu banyak kekangan dihadapi SPR dalam menggubal SOP bagi memastikan tiada jangkitan langsung ketika pilihan raya,” katanya lagi.

SPR menetapkan 5 Disember sebagai hari pengundian PRK Batu Sapi, manakala penamaan calon pada 23 November susulan kematian Ahli Parlimennya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober.


Pengarang :