Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim mendengar taklimat produk sempena Majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) oleh Invest Selangor di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam pada 1 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PRODUTK bantu IKS kendali operasi tenaga kerja secara digital

SHAH ALAM, 1 OKT: Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) dapat membantu meringankan bebanan kos dan meningkatkan produktiviti syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) di Selangor melaksanakan urus tadbir tenaga kerja secara digital.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata syarikat-syarikat IKS perlu memanfaatkan PRODUTK supaya pertumbuhan ekonomi negeri sebagai destinasi pilihan bagi pelabur dirantau ini dapat dirancak dan dirangsang semula.

“Melalui program ini, syarikat-syarikat IKS dapat menggunakan perkhidmatan sistem urus tadbir tenaga kerja secara percuma selama tiga bulan melalui penyedia-penyedia perkhidmatan sistem yang dilantik.

“Selepas tamat tempoh program ini, syarikat IKS juga mempunyai pilihan untuk menyambung penggunaan sistem tersebut dengan kadar yang rendah,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) anjuran Invest Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Chang Khim menjelaskan kriteria untuk menyertai program ini adalah syarikat dari sektor pembuatan mempunyai bilangan pekerja tidak melebihi daripada 200 orang manakala sektor perkhidmatan pula tidak lebih 75 orang.

“Kalau mengikut statistik kita mempunyai 3.4 juta (pekerja) di Selangor. Kita mengharapkan bilangan maksimum dapat menyertai program ini supaya kita boleh memperolehi data terkini bilangan pekerja, lokasi dan sektor bagi memudahkan Kerajaan Negeri membuat perancangan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Chang Khim berkata sistem ini mempunyai ciri-ciri seperti rakaman kehadiran di dalam dan luar pejabat dengan sistem kedudukan sejagat (GPS), penjadualan tugas kerja dan pengendalian permohonan cuti.

Selain itu, pengiraan tuntutan perbatuan (milage claim), pengiraan tuntutan kerja lebih masa dan penyaringan kesihatan yang akan disambungkan kepada pihak berkuasa turut disediakan dalam PRODUTK.

 


Pengarang :