Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambung bicara kes projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak pada 5 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Projek solar: Perbicaraan rasuah Rosmah bersambung 2 November

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini berkenaan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak akan bersambung semula pada 2 November ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata mahkamah melapangkan tarikh pendengaran yang sebelum ini ditetapkan pada 20 Oktober susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“Kami (pihak pendakwaan) menerima pemakluman (berhubung tarikh baharu perbicaraan) daripada mahkamah menerusi e-mel semalam,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan saksi kelima pendakwaan, dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan apabila perbicaraan bersambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bahan bukti di mahkamah.

Pendakwaan sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah yang mereka menjangka dapat menutup kes mereka pada awal November dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Rosmah, 69, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

-BERNAMA

 


Pengarang :