AGENSISELANGOR

Pusat kawalan Smart Selangor C5i Centre jayakan visi Smart State 2025

SHAH ALAM, 30 OKT: Pembinaan pusat kawalan Smart Selangor C5i Centre bakal menjadikan Selangor sebuah Negeri Pintar yang berdaya huni di Asia Tenggara pada 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata infrastruktur bagi menjayakan visi Smart Selangor itu dibina di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan, ia akan berperanan sebagai pusat perintah, kawalan, komunikasi, komputer, kolaboratif dan pusat perisikan.

“Pusat ini akan menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre yang akan memaparkan jaringan kamera litar tertutup (CCTV) baru Kerajaan Negeri, papan pemuka operasi Smart Selangor.

“Ia juga akan mengupayakan operasi pemusatan data, operasi kawal dan perintah di antara agensi negeri seperti Unit Pengurusan Bencana, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain,” katanya.

Jelasnya, pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 akan melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016 yang menetapkan empat domain pelaksanaan iaitu, Kerajaan Pintar (Smart Government), Ekonomi Pintar (Smart Economy), Komuniti Pintar (Smart Community dan Infrastruktur Digital Pintar (Smart Digital Infrastructure) menerusi 60 inisiatif serta sasaran bakal dicapai.


Pengarang :