Statistik terkini Covid-19 di Malaysia dipamerkan kepada pemberita semasa sidang media Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan pada 2 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Putuskan rantaian penularan Covid-19, elak hadapi PKP semula

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Malaysia nampaknya kembali semula ke titik asal usahanya untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dengan pengumuman berturut-turut lonjakan kes baharu, pada ketika ekonomi negara mula menunjukkan petanda pemulihan.

Malaysia merekodkan kes jangkitan baharu tertinggi sebanyak 287 pada 2 Oktober dan 260 kes pada 1 Oktober, yang kini merupakan kes ketiga tertinggi dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini.

Angka baharu itu mencerminkan negara telah memasuki gelombang ketiga memerangi pandemik tersebut yang memberikan cabaran utama kepada ekonomi.

Kini amat kritikal untuk mencari kaedah baharu bagi melandaikan semula keluk jangkitan tersebut sekali lagi.

Peningkatan ketara jangkitan pada 1 dan 2 Oktober itu adalah disebabkan oleh pertambahan perjalanan ke dan dari Sabah berikutan pilihan raya negeri dengan angka jangkitan kini berjumlah lebih 11,400 kes dan jumlah kematian seramai 136 setakat ini.

Pada 4 Jun, negara sebelum ini melaporkan 277 jangkitan baharu dengan hanya empat daripada kes adalah penularan tempatan, manakala majoriti kes adalah dalam kalangan pekerja asing daripada Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Sudah sampai masanya untuk kita melihat dengan serius bagaimana untuk membendung penularan itu sekali lagi.

Pihak berkuasa telah memberi jaminan bahawa ia akan memantau rapat dan membendung penularan Covid-19 namun pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) daripada masyarakat adalah amat kritikal sekarang.

Mampukah kita hadapi sekali lagi PKP?

Jawapannya adalah TIDAK.

Ekonomi Malaysia telah terjejas teruk akibat Covid-19 yang menyebabkan penguncupan dua angka sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Ini terutamanya disebabkan oleh penurunan permintaan domestik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 selain persekitaran luaran yang lemah.

Menurut Bank Dunia, Malaysia memasuki fasa penularan pandemik itu dengan ruang fiskal yang terhad akibat rentetan penurunan hasil kerajaan sejak 2012 serta peningkatan perbelanjaan yang ketara.

Berikutan kekangan dan kualiti respon fiskal terhadap penularan tersebut menyaksikan kerajaan sebaliknya lebih banyak bergantung kepada mekanisme monetari dan sektor kewangan.

Kelompok isi rumah misalnya berharap kepada sokongan kewangan berterusan sepanjang tempoh pemulihan dan memerlukan sistem jaringan keselamatan sosial yang dipertingkat bagi memberi perlindungan lebih agresif dan mampan serta melangkaui daripada pendekatan memberi bantuan sekali ketika krisis.

Penggunaan swasta turut merosot mendadak berikutan pendapatan isi rumah yang lebih rendah, sekatan pergerakan dan kelemahan sentimen pengguna dan perniagaan.

Malah, ketidakpastian yang ketara tidak hanya menjejaskan sentimen tetapi turut menyaksikan penyusutan pelaburan swasta.

Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi telah memberi kesan dari segi tanda-tanda pemulihan sebagaimana dibuktikan oleh beberapa petunjuk seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport serta peningkatan perbelanjaan kad kredit.

Bagi memacu ekonomi, kerajaan setakat ini telah mengumumkan pakej rangsangsan ekonomi bernilai RM305 bilion dengan yang terbaharu membabitkan pakej Inisiatif Tambahan PRIHATIN dengan peruntukan RM10 bilion atau KITA PRIHATIN yang sejajar dengan usaha untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA bernilai RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Selain itu, pasaran tenaga kerja Malaysia juga meningkat pada Julai lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mendedahkan kadar pengangguran merosot kepada 4.7 peratus pada bulan berkenaan berbanding 4.9 peratus pada Jun dan 5.3 peratus pada Mei. Bilangan penganggur pada Julai adalah sebanyak 745,100 orang, penurunan seramai 28,200 orang daripada bulan sebelumnya.

Namun, pelaksanaan sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menjejaskan lagi rakyat Malaysia terutamanya sektor perniagaan, dan mereka yang berpendapatan rendah akan mendapati sukar untuk bertahan selepas pusingan pertama PKP pada awal tahun ini.

Prospek Pemulihan Ekonomi

Bank Dunia dalam laporan terbaharu Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi Oktober 2020 berkata negara-negara yang masih berdepan pertimbangan antara pembendungan dan pemulihan boleh meringankan situasi tersebut dengan membangunkan kapasiti pembendungan pintar.

Tempoh pembendungan ketat atau tidak aktif akan digunakan bagi mewujudkan kapasiti mengehadkan penularan penyakit tanpa menggunakan langkah-langkah disruptif berlebihan, seperti yang dilihat di negara-negara yang telah berjaya melaksanakannya seperti di China dan Vietnam.

Langkah-langkah strategik yang sama telah dilaksanakan oleh kerajaan di sini melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) yang pertama di Kedah dan seterusnya di Sabah, yang kini mencatatkan bilangan kes aktif tertinggi.

”Di saat kita cuai, virus ini akan terus merebak, Sabah adalah contoh terbaik tatkala kita mula cuai, maka inilah apa yang berlaku.

“Kita semua perlu mengambil iktibar daripada perkara ini supaya kita tidak mengulanginya sekali lagi” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah .

Sentiasa berjaga-jaga, tidak cuai dan komunikasi yang tepat adalah kunci bagi memutuskan rantaian pandemik ini, sekali lagi, dan memastikan ekonomi kekal berada di landasan pertumbuhan.

-BERNAMA


Pengarang :