Seorang wanita mengenakan pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berjalan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 6 Ogos 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat saling berhubung depani Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Komuniti Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) saling bantu-membantu dan sentiasa berkomunikasi, melalui laman sosial antara satu sama lain sebagai langkah pencegahan mendepani pandemik Covid-19 di negara itu.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di New York yang hanya mahu dikenali sebagai Boon Hoe, 36, berkata langkah itu termasuk, berkongsi maklumat yang tepat apa yang berlaku di lapangan dan juga maklumat yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata meskipun tiada arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan seperti mana di Malaysia, namun ramai rakyat di negara itu tidak keluar rumah kerana bimbang dikhuatiri dijangkiti Covid-19.

“Yang paling ketara ialah komunikasi dari Konsulat Besar Malaysia di New York, yang sentiasa mengingatkan rakyat Malaysia di sini sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, termasuk jika mereka mahu pulang ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Darah Muda yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Boon Hoe, yang bekerja sebagai pengurus produk dan inovasi dan sudah 18 tahun menetap di AS, turut berkongsi pengalaman, walaupun kes Covid-19 di negara itu tinggi namun jumlahnya berbeza dan bergantung kepada negeri-negeri tertentu, yang berpihak kepada parti politik yang berkempen.

Beliau berkata ada yang negeri-negeri yang berpihak kepada parti politik tertentu menetapkan SOP seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Presiden negara itu.

“Pandangan saya, di New York (sebagai contoh), masih terkawal,” katanya sambil mengakui ada rakannya yang turut dijangkiti Covid-19, bagaimanapun keadaannya stabil.

Berdasarkan kemas kini daripada carian Google mengenai statistik Covid-19, AS telah mencatatkan seramai lebih 200,000 kematian dengan lebih 8 juta kes dilaporkan.

-BERNAMA

 


Pengarang :