Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rakyat puji inisiatif saringan Covid-19 percuma Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 4 OKT: Perkhidmatan saringan Covid-19 secara percuma kepada individu yang baharu pulang dari Sabah jelas mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memerangi penularan wabak berkenaan.

Seorang guru, Ahmad Salwan A Wahab, 44, bersyukur dan berterima kasih atas inisiatif itu yang secara tidak langsung mampu meringankan beban rakyat ketika ekonomi negara tidak menentu.

“Saringan ini sangat membantu rakyat memandangkan jika di klinik swasta harga (saringan) boleh mencecah sehingga RM400 sebaliknya Kerajaan Negeri beri percuma sahaja.

Ahmad Salwan A Wahab bercakap kepada media selepas melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya buat saringan ini demi memastikan keselamatan keluarga terjamin kerana baharu sahaja pulang dari Sabah, jadi diharapkan tiada apa berlaku selepas keputusan (saringan) keluar,” katanya yang kini dalam proses menguruskan pertukaran ke Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Pesara Guru Noraini Abu Bakar, 53, berkata dia enggan mensia-siakan peluang diberikan Kerajaan Negeri walaupun tidak bergejala sebaik pulang dari Kota Kinabalu pada 25 September lalu.

“Apabila dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa selepas 27 September perlu jalani saringan, saya bertenang dahulu sebelum bertindak menghubungi Bilik Gerakan namun mereka seperti mendahulukan individu yang ada gejala.

“Beberapa hari selepas itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran percuma ini, jadi saya terus mengambil keputusan untuk menjalaninya,” katanya.

Pekerja swasta, Abdul Kadir Bidin, 59, pula berkata dia dan isteri membuat tempahan saringan sejurus melihat iklan di laman sesawang Klinik Selcare.

“Sejak balik dari Ranau, Sabah, saya dan isteri dalam dilema sama ada mahu jalani saringan di klinik swasta atau sebaliknya kerana harganya yang sangat mahal.

Noraini Abu Bakar bercakap kepada media selepas melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selepas dapat maklumat berkenaan saringan percuma ini, saya dan isteri bersyukur kerana ia benar-benar membantu. Saya menyeru kawan-kawan yang pergi ke Sabah supaya dapatkan perkhidmatan saringan percuma ini dengan klinik Selcare,” katanya.

Kerajaan Negeri melakukan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat Selangor membabitkan 16 klinik Selcare bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

Individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta membuat janji temu sebelum ke klinik.


Pengarang :