AGENSISELANGOR

Rekrut pengikut dalam talian, elak terjerumus fahaman ekstrem

SHAH ALAM, 2 OKT: Orang ramai disaran memantau tingkah laku ahli keluarga dan rakan di laman maya dalam usaha mengekang penularan fahaman ekstrem oleh kumpulan pengganas yang cuba meningkatkan bilangan pengikutnya.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata kumpulan pengganas yang menggunakan nama Gerakan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) atau al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham (Daesh) memanfaatkan kemajuan teknologi.

“Sebuah kajian mendedahkan, kaedah yang dilakukan oleh kumpulan pengganas iaitu daripada sekadar sebuah kumpulan kecil kepada pertubuhan yang mempunyai jaringan antarabangsa adalah disebabkan kemajuan teknologi, akses pengangkutan yang lebih mudah dan dana yang banyak.

“Kombinasi itu membolehkan kumpulan pengganas membuat perancangan dan strategi yang tersusun bagi menjalankan aktiviti mereka termasuklah dengan menjalankan propaganda dan usaha merekrut anggota baharu atau menarik simpati orang lain,” menurut agensi itu di Facebook pada 28 September lalu.

Mais dalam kenyataan sama berkata perekrut dalam talian ISIS beroperasi menggunakan sekurang-kurangnya 25 bahasa.

“Mereka (ISIS) mengenal pasti dan mengetahui keperluan khusus mangsa dengan mewujudkan hubungan akrab dan mahir menjanjikan martabat, status pejuang, cinta atau apa sahaja jika turut serta menyerang atas nama ISIS dan melakukan apa sahaja untuk perjuangan mereka,” katanya.

Pada Mac dan Mei lalu, Mais berkata ISIS mengeluarkan video propaganda mengenai pencapaian medan perang mereka di Syria dan Iraq

Menurut agensi itu lagi, mereka menggunakan video propaganda, kandungan penulisan secara profesional dan memperalatkan mekanisme media sosial untuk menarik perhatian.


Pengarang :