Kakitangan pusat membeli-belah memakai pelitup muka di tengah-tengah kebimbangan penyebaran Covid-19 di Marina Bay, Singapura pada 18 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Rentas sempadan: Singapura pantau situasi Covid-19 di Malaysia

SINGAPURA, 21 OKT: Singapura terus memantau situasi pandemik Covid-19 di Malaysia, ketika negara jirannya itu merekodkan peningkatan jumlah jangkitan harian wabak berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 di republik itu, Lawrence Wong berkata pemantauan tidak hanya berdasarkan kes yang dilaporkan di Malaysia.

“Kami juga melakukan pemantauan terhadap pelancong yang datang dari Malaysia ke Singapura,” kata Wong yang juga Menteri Pendidikan pada sidang media Pasukan Petugas secara maya semalam.

Terdahulu, Pasukan Petugas itu ditanya pada tahap manakah Singapura akan menimbang semula kemasukan pelawat dari Malaysia ke Singapura.

Wong berkata langkah berjaga-jaga diambil untuk pelawat, termasuk melakukan ujian saringan ke atas mereka ketika berada di republik itu.

“Oleh itu berdasarkan ujian itu, kami akan mempunyai data sebenar mengenai kadar kelaziman pelancong Malaysia ketika mereka berada di Singapura.

“Berdasarkan pengalaman ini, kami akan mengambil langkah mengikut kesesuaian,” kata Wong, sambil menambah kes daripada pelawat itu akan mencerminkan jumlah kes import di Singapura.

“Rentas sempadan adalah bersyarat. Pelawat boleh masuk tetapi ada notis SHN (Notis Duduk Di Rumah) serta ujian, untuk memastikan mereka selamat sebelum mereka dapat masuk ke dalam komuniti,” kata Wong.

Singapura memendekkan tempoh SHN daripada 14 hari kepada kepada tujuh hari bagi pelawat dari enam negara dan wilayah berisiko rendah Covid-19, termasuk Malaysia mulai 1 Sept 2020.

Pelawat dari negara dan wilayah terbabit dibenarkan untuk menjalani SHN selama tujuh hari di kediaman mereka.

Bagaimanapun, Singapura mewajibkan semua pelawat dengan sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini, untuk menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan SHN yang ditetapkan bermula 14 Okt.

“Ini berikutan peningkatan kes di Sabah baru-baru ini,” menurut Pasukan Petugas, menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Okt lepas.

-BERNAMA


Pengarang :