Gimik pelancaran Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

RiDE: 3,000 peserta dipilih ikuti kursus e-panggilan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 3,000 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal mengikuti kursus e-panggilan secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

EXCO pembangunan generasi muda berharap kumpulan perintis yang menyertai program tersebut dapat menjana pendapatan berasaskan khidmat penghantaran.

“Permohonan untuk menyertai program ini di luar jangkaan dan pemilihan peserta berdasarkan siapa cepat dia dapat bagi mengisi kuota ditetapkan.

“Kerajaan Negeri akan merangka dasar bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi sampingan kerana ia boleh dijalankan secara individu sama ada sepenuh masa atau separuh masa,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM200 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 2 September, Mohd Khairuddin memaklumkan borang permohonan program itu yang dibuka mulai 1 Ogos dimuat turun lebih 19,000 kali.

Pada 17 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu berupaya mencetuskan minat belia menceburi perniagaan berasaskan khidmat penghantaran, terutama sejak penularan Covid-19.


Pengarang :