AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit naik 4.1620/1670 berbanding dolar AS, jejaki harga minyak global

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka hari ini berikutan permintaan yang lebih ketara di tengah-tengah kenaikan harga minyak, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit di paras 4.1620/1670 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1670 sewaktu pasaran ditutup semalam.

Peniaga itu juga menyifatkan peningkatan prestasi ringgit itu disebabkan ketidaktentuan membabitkan senario politik tempatan yang kian reda.

Setakat pagi ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, meningkat sebanyak 0.27 peratus kepada US$40.57 setong.

Namun, peniaga itu berkata pasaran kekal berhati-hati berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu lagi sehingga 9 November, 2020.

Menurutnya, ini berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan dari segi kadar pengangguran selain kuasa beli pengguna yang lebih lemah.

Bagaimana pun, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam paras sokongan antara 4.1557 hingga 4.1610 dengan paras rintangan pada 4.1705 hingga 4.1750.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0614/0662 daripada 3.0604/0644 sewaktu ditutup semalam, turun berbanding yen kepada 3.9718/9769 daripada 3.9689/9739 dan rendah berbanding euro kepada 4.9195/9266 daripada 4.9157/9221.

Ringgit bagaimana pun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4214/4288 daripada 5.4319/4392 sebelum ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :