Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang pada 17 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rombak portfolio EXCO: Budayakan inovasi, urus bencana

SHAH ALAM, 7 OKT: Portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dirombak susulan pelantikan dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September lalu.

Lima portfolio baharu turut diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa iaitu pembudayaan inovasi & Smart Selangor, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

Rombakan itu yang berkuat kuasa serta-merta pada 7 Oktober diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Besarlah harapan saya agar penstrukturan ini dapat memanfaatkan seluruh warga negeri Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya.

Amirudin memegang portfolio tambahan, pembudayaan inovasi dan Smart Selangor serta pengurusan bencana.

Dua lagi portfolio dijenamakan semula iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar yang sebelumnya dikenali Perumahan & Kehidupan Bandar dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (dahulu Kesihatan).

Borhan dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, manakala Mohd Zawawi mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.

Rombakan kecil portfolio turut dibuat melibatkan tiga EXCO iaitu Rodziah Ismail yang dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan.

Hee Loy Sian pula mempengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal, manakala V Ganabatirau menerajui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja.

Dr Siti Mariah Mahmud kekal dengan portfolio termasuk nama baharu kesihatan awam. Kedudukan dan nama portfolio empat EXCO lain tidak berubah.

Borhan dan Mohd Zawawi menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari dan Haniza Mohamed Talha yang tidak lagi mewakili parti Kerajaan Negeri susulan perubahan politik nasional awal tahun ini.

Abdul Rashid sebelum ini memegang jawatan EXCO kebudayaan, pelancongan, peradaban Melayu dan warisan. Manakala Haniza memimpin portfolio perumahan dan kehidupan bandar.

 

 

 


Pengarang :