Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
PENDAPAT RENCANA

Sabah terus ‘diamuk’ badai Covid-19, kes aktif lebih 8,000

Oleh Melati Mohd Ariff

*Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta dunia dari 17 Oktober hingga jam 12.30 tengah hari, 23 Oktober.

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sabah terus menjadi mangsa amukan badai Covid-19 dengan 578 kes atau 68.2 peratus daripada keseluruhan 847 kes baharu positif yang dilaporkan, sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober.

Daripada 578 kes itu, 155 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan yang pertama kali diumumkan pada 18 Okt dengan 49 kes awal. Setakat semalam, jumlah kes positif Covid-19 Kluster Penjara Kepayan adalah 582.

Kluster ini dikhuatiri akan terus melonjakkan jumlah kes harian di negeri di bawah bayu itu dan kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam.

Jumlah kes positif di Sabah dijangka meningkat mendadak susulan saringan daripada Kluster Penjara Kepayan yang giat dijalankan. Jumlah banduan di penjara tersebut sekitar 2,700 orang.

Selepas Sabah, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes) semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Mengumumkan perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 847 kes baharu itu (lima daripadanya kes import), jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini menjangkau 23,804 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 juga meningkat melepasi angka lapan (8) ribu kepada 8,183 kes.

Di sebalik peningkatan kes baharu, sesuatu yang membanggakan adalah jumlah pesakit yang pulih terus menunjukkan prestasi tinggi. Semalam, 22 Oktober, seramai 486 orang lagi pesakit Covid-19 pulih. Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 15, 417 iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada 18 Oktober, negara mencatat 701 kes pulih, yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Pecahan kes yang pulih semalam, mengikut negeri adalah Sabah (250 kes), Selangor (109 kes), Kedah (67 kes), Pulau Pinang (30 kes), Perak (13 kes), Johor (9 kes), Sarawak (6 kes) dan Terengganu (2 kes).

Kes kematian dan kes-kes lain

Sebanyak lima lagi kes kematian dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober. Kelima-lima kes iaitu tiga perempuan dan dua lelaki berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 204 iaitu 0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan adalah 5 kes (22 Oktober), 6 kes (21 Oktober), 3 kes (20 Oktober), 3 kes (19 Oktober), 7 kes (18 Oktober) dan 4 kes (17 Oktober). Daripada 28 kes kematian dari 17 hingga 22 Oktober, sebanyak 27 dilaporkan di Sabah dan satu (1) di Selangor.

Sementara itu, 90 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu Covid-19 sepanjang rangkuman ini adalah 847 kes (22 Oktober), 732 kes (21 Oktober), 862 kes (20 Oktober), 865 kes (19 Oktober), 871 kes (18 Oktober) dan 869 kes (17 Oktober).

Untuk kes pulih pula yang dilapor, iaitu 486 kes (22 Oktober), 580 kes (21 Oktober), 634 kes (20 Oktober), 485 kes (19 Oktober), 701 (18 Oktober) dan 302 (17 Oktober).

Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 465 kes termasuk 11 kes yang diumumkan semalam.

Landaikan R-Naught

“Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak”. Demikian kata Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu mengadakan sidang media khas pada 18 Oktober lepas untuk menjelaskan nilai R atau R-Naught (Ro).

Ini bukan kali pertama beliau menyatakan betapa pentingnya mengawal nilai Ro. Pada 30 September, beliau membangkitkan kebimbangan yang sama.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Pada sidang media 18 Oktober itu, Dr Noor Hisham memberitahu wakil media gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Malaysia sekarang adalah lebih mencabar.

Menurut beliau, nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya berjaya diturunkan kepada 1.5.

Tegas beliau, usaha untuk melandaikan nilai Ro ini kepada kurang daripada 1.0, memerlukan kerjasama semua pihak.

Kluster dan status terkini kes Covid-19

Sehingga Khamis 22 Oktober, Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 207 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak Covid-19 di negara ini dan 108 sudah ditamatkan.

Setakat 22 Oktober 2020, masih terdapat 99 kluster termasuk enam (6) kluster baharu yang diumumkan semalam.

Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 22 Oktober, iaitu Sabah: 578 kes. Daripada jumlah itu, 223 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tinusa dan Kluster Sauh.

Di Selangor, daripada 132 kes, sebanyak 59 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jambu dan lapan (8) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan mencatat 38 kes dan 33 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sofi. Di Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyaj 29 kes dilaporkan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat 23 kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Mutiara.

Di Perak, dilaporkan 14 kes; Pulau Pinang, 10 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya terdapat empat (4) kes; Kedah, tiga (3); Melaka, tiga (3) kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Umboo; Kelantan melaporkan tiga (3) kes; Pahang, dua.

Sementara itu, Terengganu, Johor dan Sarawak, masing-masing melaporkan satu (1) kes.

Pelbagai langkah kekang Covid-19

Peningkatan kes baharu positif Covid-19 membuatkan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengekang penularan ganas koronavirus ini.

Sabah yang kini pusat penularan Covid-19 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu berkuat kuasa 13 hingga 26 Oktober.

PKPB kemudiannya diisytiharkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 sehingga 27 Oktober untuk memutuskan penularan Covid-19.

PKPB dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa 17 sehingga 30 Oktober.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah, membuatkan kerajaan memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan berkenaan.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan mengarahkan pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah.

Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar berada di pejabat, mulau 22 Okt sehingga tamat tempoh PKPB.

Arahan ini melibatkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dan hampir 200,000 ribu penjawat awam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Pengecualian diberikan bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah amat disaran melakukan ujian saringan Covid-19, jika perlu bekerja di pejabat. Ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan Covid-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di tempat bekerja.

Saringan Covid-19 untuk pekerja asing

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan juga memutuskan pekerja asing membabitkan pengawal keselamatan dan pekerja binaan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu menjalani semula saringan Covid-19.

Ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga asing khususnya kes membabitkan pengawal keselamatan di pusat beli-belah One Utama baru-baru ini.

Turut diwajibkan untuk menjalani ujian saringan itu adalah bagi mereka yang bergejala. Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani swab test.

Memandangkan kes baharu Covid-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband).

Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Statistik global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini menghampiri 42 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes Covid-19 global sebanyak 41,992,013 (rangkuman minggu lalu 39,230,164 ) dengan 1,141,731 kematian (minggu lalu 1,103,724 kematian ). Jumlah pesakit sembuh ialah 31,184,436 (minggu lalu 29,410,149).

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik Covid-19 dengan 8,661,651 kes (minggu lalu 8,219,088 kes). Angka kematian 228,381 (minggu lalu 222,754). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Seorang wanita mengenakan pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berjalan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 6 Ogos 2020. Foto REUTERS

India, di tempat kedua dengan 7,759,640 kes (minggu lalu 7,372,394 kes) dengan 117,336 kematian (minggu lalu 112,214 kes kematian).

Ini diikuti Brazil, dengan 5,332,634 kes (minggu lalu 5,170,996 kes) dan 155,962 kematian (minggu lalu 152,513 kematian).

Rusia merekod 1,463,306 kes (minggu lalu 1,369,313 kes) dan 25,242 kematian (minggu lalu 23,723 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 43 (minggu lalu 40) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes Covid-19 antaranya Sepanyol, Argentina, Perancis dan Colombia.

Sementara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-56 dengan 85,747 kes (minggu lalu 85,646 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 46 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Minggu ini Indonesia mencatat 377,541 kes (minggu lalu 353,461 kes) dan 12,959 kematian (minggu lalu 12,347 kematian). Filipina merekod 363,888 kes (minggu lalu 351,750 kes) dan 6,783 kematian (minggu lalu 6,531 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,941 kes (minggu lalu 57,901 kes) dengan angka kematian kekal 28. Myanmar melaporkan 41,008 kes (minggu lalu 32,351 kes) dan 1,005 kematian (minggu lalu 765 kematian).

Jumlah kes positif Covid-19 di Thailand pula sebanyak 3,719 kes (minggu lalu 3,669 kes) dan angka kematian kekal 59.

Vietnam mencatat 1,148 kes (minggu lalu 1,124 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes Covid-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 286 kes (minggu lalu 283 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

 


Pengarang :