Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma Kepada Sekolah Daerah Gombak di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 11 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Covid-19 percuma buat rakyat pulang dari Sabah – MB

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Selangor menyediakan kemudahan saringan Covid-19 bersasar secara percuma bermula Ahad ini kepada penduduk negeri ini yang pulang dari Sabah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran berkenaan untuk individu yang ada sejarah perjalanan ke negeri berkenaan antara 20 hingga 26 September lalu.

“Memandangkan kemungkinan jangkitan baharu terkait dengan kes dari Sabah, Kerajaan Negeri ingin membantu Kementerian Kesihatan dan mempermudah pengesanan jangkitan dengan mengadakan saringan bersasar secara percuma,” katanya melalui rakaman Facebook malam ini.

Katanya, ujian boleh dibuat di semua cawangan Klinik Selcare milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan menunjukkan dokumen penerbangan dan bukti pemastautin tetap seperti bil air dan eletrik.

Orang ramai juga boleh hadir ke klinik terdekat atau layari https://selcareclinic.com/our-clinics/ untuk mengetahui lokasi tersebut.

“Aturan khas turut disediakan untuk saringan dilakukan di dewan orang ramai di Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi akan dimuktamadkan kemudian,” kata Amirudin lagi.

Hari ini, KKM memaklumkan Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 287 berbanding 277 kes pada 4 Jun lalu, sementara kes baharu di Selangor pula naik dua kali ganda daripada 13 semalam kepada 31 kes.

 


Pengarang :